TAMPIN: Tanda tanya panggilan telefon yang tidak berjawab akhirnya bertukar menjadi hari paling menyedihkan dan mengerikan bagi seorang pelajar sekolah menengah apabila menemui mayat empat ahli keluarganya yang dibunuh kejam termasuk seorang dipercayai dipenggal kepala di rumahnya yang agak terasing di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Siti Mariam Ismail, 19, hanya mampu menggigil ketakutan apabila menemui mayat kakaknya, Siti Khatijah, 22, terlentang di ruang tamu dengan sebilah pisau terpacak di dada selain mayat datuk dan neneknya berlumuran darah di pintu rumah mereka yang terletak bersebelahan.

Siti Mariam sebelum itu dikatakan berang kerana bapa tidak datang menjemputnya pulang di sekolah berhampiran seperti kebiasaan, malah panggilan dibuat terhadap bapa serta kakaknya juga tidak disambut.

Marah kerana keluarganya tidak datang menjemput, Siti Mariam kemudian menaiki bas awam untuk pulang ke rumahnya, kira-kira tujuh kilometer dari sekolah.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, Siti Mariam kemudian berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer ke rumahnya dan terus memarahi kakaknya yang disangka sedang tidur di ruang tamu.

“Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat pisau terpacak di dada kakaknya menyebabkan dia terus berlari ke rumah datuknya, Atan Daud, 90, yang juga bekas imam kampung itu yang terletak bersebelahan.

“Dia sekali lagi terkejut apabila menemui mayat datuk dan neneknya terbaring di pintu rumah menyebabkan Siti Mariam menghubungi abangnya di Seremban,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Penduduk itu berkata, abang pelajar berkenaan kemudian menghubungi beberapa rakan sekampung untuk meminta mereka menyiasat kejadian berkenaan, sebelum seorang daripada mereka menemui satu lagi mayat tanpa kepala di lokasi.

Seorang anak Allahyarham Atan yang ditemui malam tadi, Muhammad, 43, berkata kali terakhir dia bertemu bapanya ketika cuti Hari Krismas lalu dan arwah ketika itu agak uzur kerana menghidap sakit buah pinggang.

“Arwah sudah bersara daripada menjadi imam sejak dua tahun lalu dan saya tidak sangka tragedi ini menimpa keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata selain Atan, ahli keluarganya yang dibunuh dalam tragedi menyayat hati berkenaan ialah isteri bekas imam berkenaan, Sufiah Keatas, 80, menantu, Ismail Awang, 76, dan cucu, Siti Khatijah.

Beliau berkata, tiga mayat mangsa dijumpai dalam sebuah rumah manakala Siti Khatijah ditemui dalam rumah bersaingan dengan pisau masih terpacak di dada. Menurutnya, pembunuh juga disifatkan sangat kejam kerana Ismail ditemui dalam keadaan kepalanya terputus, manakala Atan putus tangan kiri dan isterinya pula putus tangan kanan, dipercayai akibat cuba menghadang tetakan.

“Setakat ini, polis menolak kemungkinan kejadian bermotifkan samun disebabkan wang dan barang kemas tidak diusik selain menemui pisau serta parang yang dijadikan senjata pembunuhan.

“Pembunuhan itu juga dipercayai berlaku di sebelah pagi, tetapi polis tidak menemui sebarang kesan pergelutan,” katanya.

Sehubungan itu, Osman berkata, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang lelaki bernama Rashidi, 34, iaitu anak kepada Ismail bagi membantu siasatan.

“Dia dipercayai menaiki sebuah motosikal Suzuki bernombor pendaftaran BAY 2805. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, jenazah keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat, malam tadi.

SIK: Bimbang kekerapan kehadiran bapa mentua ke rumahnya, untuk menjenguk cucu menjadi cemuhan masyarakat sekeliling, seorang balu menikahi bapa mentuanya itu di negara jiran, sebelum perkahwinan terlarang itu di bongkar Pejabat Agama Islam Daerah Sik di sini, kelmarin.

Pasangan ‘mentuaku-suamiku’ selama 21 hari itu berlaku selepas wanita yang kematian suami sejak satu setengah tahun lalu itu, mengambil keputusan bernikah dengan bapa mentuanya, di negara jiran pada 8 Disember lalu.

Wanita berusia 40 tahun dan bapa mentuanya, 63, dinikahkan seorang juru nikah, sambil disaksikan dua orang saksi di negara jiran dengan kos RM1,400 yang dikongsi bersama.

Hubungan suami isteri terlarang itu terbukti apabila Pejabat Agama Daerah Sik memperoleh sijil pernikahan mereka yang dikeluarkan di negara jiran selepas dimaklumkan penduduk kampung sebelum menahan pasangan itu pada malam Selasa lalu (29 Disember).

Difahamkan, selepas mendapat ‘lesen’ sebagai suami isteri, pasangan itu hidup seperti suami isteri lain, termasuk melakukan hubungan seks beberapa kali.

“Saya tahu perbuatan ini salah, malah sedar hubungan antara bapa mentua dan menantu tidak akan putus sampai di akhirat, namun cemuhan daripada orang sekeliling apabila bapa mentua kerap menjenguk cucu, menyebabkan saya bertindak nekad mengajaknya berkahwin.

“Sebelum ini, saya pernah bertanya kepada pakar agama status hubungan saya dan bapa mentua selepas kematian suami, dia kata kami tiada apa-apa hubungan dan sebab itu saya teruskan hasrat ini,” kata menantu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Nita, ketika ditemui di sini, kelmarin.

Ibu kepada lima anak itu mendakwa, pernikahannya dengan bapa mentua selain dapat melenyapkan cemuhan masyarakat, membolehkan nasib anaknya terbela.

“Anak saya berusia antara tujuh dan 20-an dan saya pula bekerja kilang. Ketika bekerja, anak-anak tiada orang jaga dan apabila bapa mentua datang, dia boleh tolong jaga cucunya,” katanya.

Nita mendakwa, sepanjang 21 hari bergelar isteri, dia hanya memanggil ‘suaminya’ dengan panggilan ayah, manakala anak-anaknya pula memanggil mentuanya ‘tok wan’.

Sementara itu, ‘suami’ Nita yang dikenali Pak San berkata, dia tidak terfikir akan berkahwin dengan menantu sendiri, malah ketika diajak bernikah di negara jiran, dia seperti berada dalam keadaan hanya mampu menurut saja.

“Ketika menantu ajak bernikah, saya mengikut saja, malah kami berkongsi wang RM1,400 untuk kos pernikahan di negara jiran.

“Majlis pernikahan itu mudah dengan disertai dua saksi, kadi dan mas kahwin RM30. Dalam beberapa minit, urusan selesai dan kami diberi sijil nikah sebelum pulang ke negara ini,” katanya.

Dia yang menetap di Selangor mengakui pernah tidur bersama ‘isteri’ dan melakukan hubungan seks sebanyak dua kali dalam tempoh tiga minggu perkahwinan.

Begitupun, Pak San melahirkan rasa syukur kerana ditahan Jabatan Agama Islam Daerah Sik pada malam 29 Disember lalu di rumah menantunya sebelum dibawa ke pejabat agama berkenaan.

“Jika tidak ditahan, mungkin saya terus bergelumang dosa. Pada saya, perkara sudah terjadi dan saya akui kejadian ini tidak pernah dibuat orang,” katanya.

“Saya masih kekasih Zaquan dan dia masih seorang ‘lelaki’ terbaik bagi saya,” kata pelakon, Ayu Raudhah, 25, mengulas gosip yang mengatakan hubungan cintanya bersama pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak terlerai gara-gara orang ketiga.

Hubungan pasangan itu yang mula intim tahun ini dikatakan retak menanti belah gara-gara gosip terbaru mendakwa Zaquan dalam diam memiliki seorang lagi ‘awek’ yang menemaninya di kala tertekan dan mempunyai masalah sejak lebih dua tahun lalu.

Berikutan gosip itu Ayu yang juga adik kepada dramatis terkenal, Rozita Che Wan didakwa menyerang ‘kekasih gelap’ Zaquan, baru-baru ini ketika majlis sambutan hari jadi yang dihadiri rakan terdekat.

Ketika dihubungi Harian Metro mengenai gosip itu, Ayu dengan tenang menjawab tidak pernah menyerang mahupun diserang mana-mana ‘awek’ yang mendakwa dirinya kekasih atau bekas kekasih Zaquan malah, hubungannya bersama kembar kepada Aidil Zafuan itu masih lagi baik.

“Manalah timbul cerita begini? Saya bahagia dan tiada orang ketiga seperti didakwa sesetengah pihak, malah tidak timbul juga cerita kata saya pergi menyerang orang semata-mata berebutkan Zaquan…saya takkan buat begitu.

“Lagipun sepanjang bulan ini saya agak sibuk dan berada di luar ibu kota kerana ‘shooting’ drama. Pada 22 Disember lalu saya di Tapah sehinggalah Isnin lalu untuk penggambaran drama bagi tayangan RTM selain temu janji dengan majalah,” katanya menafikan gosip itu semalam.

Wartawan Harian Metro diberitahu seorang sumber yang menghubungi Balai Berita, di sini mengenai Zaquan yang juga penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan mempunyai selera pelik kerana tidak hanya bernafsu ke atas wanita tetapi insan bernama lelaki.

Difahamkan hubungan terlarang itu berlanjutan beberapa tahun sejak masing-masing berkenalan di laman sembang, malah ia masih kekal utuh meskipun Zaquan dan Ayu dilaporkan intim menyulam kasih tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, Zaquan didakwa bijak memainkan peranan sebagai pasangan yang penyayang apabila tidak membezakan kasih sayangnya ketika bersama Ayu dan ‘awek’ lelakinya itu yang difahamkan berasal dari Sarawak.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, perhatian Zaquan lebih terarah kepada lelaki terbabit berikutan keistimewaan dimilikinya disamping bijak meredakan kemarahan selebriti sukan berkenaan kerana kerap berada di sisi ketika diperlukan.

Ditanya mengenai gosip itu, Ayu nyata terkejut mendengar berita disampaikan, namun menegaskan Zaquan lelaki sejati dan bukan seperti didakwa sumber, malah dia juga yakin kekasih hatinya seorang yang ‘lurus’ serta jujur.

“Ini pertama kali saya mendengar gosip mengatakan Zaquan begitu. Sebelum ini banyak cerita yang berkisar perihal Zaquan dengan perempuan itu…perempuan ini…belum ada lagi yang bercakap dia ada hubungan dengan lelaki.

“Saya mahu tegaskan di sini saya yakin Zaquan masih lelaki sejati dan tidak memilih kaum sejenisnya untuk menjadi pasangan. Sepanjang berkawan dengannya saya tidak nampak ciri-ciri dia berminat ke atas kaum Adam,” katanya.

Berikutan itu, dia meminta supaya kisah percintaannya tidak digembar gemburkan mana-mana pihak, sebaliknya berdoa supaya hubungan cinta bersama Zaquan berakhir hingga ke jinjang pelamin.

Sementara itu Mohd Zaquan ketika ditemui Harian Metro malam tadi selepas perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Malaysia dan Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil terkejut dan menafikan sekeras-kerasnya gosip itu.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita kerugian RM3,400 selepas menerima satu e-mel palsu menyatakan akaun perbankan Internetnya disekat sebelum pihak yang menghantar e-mel berkenaan memindahkan wang mangsa ke dalam akaunnya.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian awal bulan lalu, e-mel itu diterima suami mangsa di pejabatnya kira-kira jam 12 tengah hari memaklumkan akaun isterinya disekat dan diminta mengaktifkan kembali.

“Lelaki terbabit menghubungi isterinya yang bekerja di Putrajaya mengenai perkara itu dan mangsa menyuruh suaminya mengaktifkan semula akaunnya tanpa mengetahui ia e-mel palsu.

“Selepas e-mel itu dibuka, suami mangsa diminta memasukkan nombor keselamatan melakukan transaksi (TAC) melalui khidmat pesanan ringkas dihantar ke telefon bimbit mangsa,” katanya.

Kira-kira sejam selepas itu, mangsa membuka akaun perbankan Internetnya dan mendapati wang RM3,400 dipindahkan ke akaun individu tidak dikenali.

Mangsa menghubungi pihak bank dan dimaklumkan maklumat perbankannya diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan mengarahkannya membuat laporan polis.

PUTRAJAYA: Ibunya sudah menjengah usia senja, namun si anak yang tidak mengenang budi sanggup menghantar wanita berusia 84 tahun itu ke rumah kebajikan.

Semuanya berlaku selepas mengetahui sejarah hitam wanita yang mengandung dan membesarkannya itu pernah menjadi ‘kupu-kupu malam’ bagi menyara tiga anak selepas ditinggalkan suami.

Bukan itu saja, anak bongsu lingkungan 40-an yang mempunyai pangkat, kedudukan dan hidup mewah hasil didikan dan titik peluh ibunya, langsung tidak pernah menjenguknya selepas menghantarnya ke rumah orang tua pada 2007, sehinggalah wanita itu menghembuskan nafas terakhir, dua tahun kemudian.

Sebelum ini, wanita terbabit dijaga anaknya selepas ditinggalkan suami beberapa tahun lalu, tetapi hidupnya menderita apabila dilayan tidak ubah seperti sampah sejurus lelaki itu tahu dia pernah melacur.

Malah, bagi mengelak nama baik dan imej keluarga tercalar, lelaki terbabit secara sulit menghantar wanita tua yang dilayan seperti peminta sedekah itu ke rumah kebajikan dan terus memutuskan hubungan dengan manusia yang begitu banyak berbudi kepadanya sebelum ini.

Anak derhaka yang memiliki beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes Benz terbabit dikatakan seolah-olah tidak mahu mengaku wanita itu ibunya ketika menghantarnya ke rumah terbabit kerana malu selain mengelak nama baiknya tercemar jika pengurusan rumah itu tahu ibunya pernah menjadi pelacur.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki terpelajar itu didedahkan Pengasas Pusat Rawatan dan Jagaan Orang Tua Al-Ikhlas, Pulau Meranti, dekat sini, Muji Sulaiman, semalam.

Muji berkata, anak lelaki bongsu wanita itu menghantar ibunya ke pusat jagaan terbabit ketika wanita itu berusia 84 tahun selepas mendapat maklumat ibunya pernah melacurkan diri selepas ditinggalkan suami, semata-mata kerana mahu menyara anaknya.

“Lelaki itu memberi alasan malu mempunyai ibu yang pernah menjadi pelacur.

“Apa yang menyedihkan dia menghilangkan diri dan tidak lagi menjenguk ibunya sehinggalah wanita itu meninggal dunia baru-baru ini,” katanya.

Muji berkata, dia yakin anak wanita itu mempunyai kedudukan sama ada dalam syarikat swasta atau kerajaan berdasarkan penampilan dan kenderaan mewah dipandu ketika menghantar ibunya ke pusat berkenaan.

Menurutnya, bagi mendapatkan kepastian tuduhan lelaki itu, beliau menyoal sendiri wanita berkenaan yang kemudian mengaku pernah terbabit pelacuran kerana kesempitan hidup bagi menyara persekolahan dan perbelanjaan harian tiga anaknya.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, warga emas itu mengaku menjalani kehidupan yang cukup daif, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas ditinggalkan suami ketika anak masih kecil.

“Wanita itu memberitahu, dia terpaksa berlapar bagi memastikan anaknya dapat makan kerana wang dimiliki hanya cukup bagi membeli makanan tiga anaknya,” kata Muji sambil menitiskan air mata.

Muji berkata, wanita itu mengaku dia terpaksa melacur kerana tidak sanggup melihat anaknya menangis kelaparan.

Menurutnya, walaupun menyedari perbuatan itu menyebabkan dia dihina masyarakat, wanita berkenaan terpaksa melakukannya bagi menyara persekolahan dan kehidupan anaknya.

“Saya difahamkan, tidak ada ahli keluarga wanita itu mahu menjaganya selepas mengetahui dia pernah menjadi pelacur bagi menjaga maruah keluarga masing-masing.

“Walaupun sedih, wanita berkenaan reda dengan perbuatan anaknya yang tidak mengenang jasa ibu,” katanya.

Menurut Muji, anak lelaki wanita itu tidak sepatutnya membuang ibunya kerana wanita itu tetap ibu yang melahir dan membesarkannya walaupun terpaksa berdepan pelbagai kejian dan umpatan masyarakat.

“Apa yang dialami wanita ini kenyataan yang dicerita sendiri kepada saya dan tidak menyangka masih ada anak sanggup menyisih ibu yang melahirkannya sehingga wanita itu meninggal dunia tanpa seorangpun ahli keluarga di sisi.

“Sebagai anak, kita sepatutnya membalas jasa ibu, bukannya membuang mereka seperti sampah,” katanya.

KUALA TERENGGANU: “Sebaik tangan disentuh, saya seolah-olah dalam khayalan… saya nampak apa berlaku, tapi kelu dan tak dapat berbuat apa-apa kerana seperti dipukau.

“Saya nampak seorang daripada mereka (penjenayah) menyusup masuk ke bilik kebal dan mahu memaklumkan kejadian itu kepada pemilik kedai, namun keliru dan tidak keruan,” kata Suhaida Abdul Wahab, 33.

Suhaida antara saksi utama kejadian samun disyaki menggunakan ilmu pukau di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Zainal Abidin berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini, membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta, kira-kira jam 2 petang semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang pengedar barangan kemas memasuki kedai berkenaan dan menyimpan tiga beg berisi barangan kemas dibawanya dalam peti besi sebelum ke pasar berhampiran untuk makan.

Katanya, selepas beberapa minit pengedar berkenaan meninggalkan kedai terbabit, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab terus memasuki premis itu sambil berpura-pura mahu membeli barangan kemas dipamerkan dalam rak pameran.

“Sejurus memasuki premis berkenaan, tiba-tiba seorang terus menyentuh saya, dipercayai untuk memukau.

“Walaupun nampak apa yang mereka (perompak) buat dalam premis itu, saya tidak mampu bersuara dan hanya melihat pergerakan kumpulan berkenaan,” katanya.

Suhaida berkata, dalam keadaan separuh sedar, dia melihat seorang perompak membawa keluar tiga beg berisi barangan kemas dari kedai berkenaan sebelum meluru ke kereta diletakkan di depan kedai terbabit.

“Saya sempat mengecam wanita berusia 50-an itu menerusi seluar jeans dipakainya manakala tiga lagi lelaki tidak diketahui kerana ingatan saya samar-samar.

“Selepas beberapa minit kumpulan perompak berkenaan keluar dari premis terbabit, saya kebingungan dan cuba memberitahu kejadian berlaku kepada pemilik kedai yang ketika itu turut dipukau kumpulan terbabit,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Anak pemilik kedai emas berkenaan, Norizah Safura Zakaria, 11, berkata dia tidak sedap hati sebaik seorang warga Arab terbabit memintanya mengambil sebentuk cincin konon untuk dipadankan ke jarinya.

“Ketika melihat wajahnya, tiba-tiba saya berasa takut dan berdebar, apatah lagi saya langsung tidak faham bahasa mereka,” katanya.

Bapanya, Zakaria Yusof, 46, juga mengakui mereka dipukau kerana secara tiba-tiba badan kebas dan khayal selepas disentuh kumpulan penjenayah Timur Tengah terbabit.

“Saya mula sedar apabila seorang pelanggan memberitahu perompak melarikan beg diambil dari peti besi, namun kelibat kumpulan perompak sudah tidak kelihatan.

“Sebaik menyedari kejadian itu, saya segera meminta rakan mengejar perompak terbabit tapi gagal dan sempat mengecam Proton Persona serta nombor pendaftaran dinaiki perompak terbabit sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pengedar berkenaan dan polis,” katanya.

Menurutnya, dia percaya kumpulan berkenaan merancang melakukan rompakan itu kerana beberapa rakannya mendakwa pernah melihat mereka berkeliaran di kawasan pasar berkenaan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyiasatnya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau meminta orang ramai terutama peniaga emas berhati-hati dengan kumpulan penjenayah terbabit yang dianggap licik menggunakan ilmu pukau sebelum melakukan jenayah.

“Saya meminta orang ramai memiliki maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan,” katanya.

mainpix

ALOR STAR: “Kalau hang tak mau hidup dengan aku, mai kita mati sama-sama.” Itulah kata-kata seorang warga emas sebelum secara tiba-tiba menikam isterinya selepas berang tindakan mangsa meminta cerai daripadanya dalam kejadian di Kampung Kuala Sungai, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Zabedah Ali, 73, maut akibat ditikam di sebelah kiri perut oleh suaminya yang berusia 81 tahun menggunakan sebilah pisau di depan pintu masuk rumah mereka.

Suspek yang juga suami ke-11 mangsa, hilang pertimbangan apabila usahanya memujuk wanita itu untuk meneruskan perkahwinan mereka menemui jalan buntu selepas dia tetap dengan keputusannya untuk berpisah.

Mangsa yang ditikam dengan pisau sepanjang 17.8 sentimeter (tujuh inci) cuba melarikan diri ke halaman rumahnya dalam keadaan parah sebelum rebah dan menemui ajal di situ.

Anak tiri mangsa, Ismail Hashim, 50-an, berkata sebelum kejadian, dia singgah di rumah ibu tirinya itu untuk menziarahinya kira-kira jam 11.50 pagi selepas pulang dari bandar ini.

“Ketika di rumah itu, saya nampak berlaku pertengkaran antara ibu tiri dengan suaminya dan dalam pertengkaran itu, lelaki terbabit mengeluarkan pisau yang diselit di pinggangnya lalu terus menikam ibu tiri saya.

“Lelaki itu cuba menikam ibu tiri saya sekali lagi, tetapi saya menghalangnya. Dia kemudian cuba lari, tapi saya dan seorang penduduk menahannya sebelum kami hubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mustafa Ahmad, 80, berkata Zabedah dikunjungi suaminya yang tinggal di Kuala Kedah kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, dipercayai untuk memujuknya membatalkan hasrat untuk bercerai, tetapi wanita itu enggan menerima pujukan itu.

“Ketika mangsa rebah di halaman rumah selepas ditikam, dia sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh jiran yang datang selepas menyedari kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau juga mengesahkan seorang lelaki berumur 81 tahun ditahan untuk siasatan.