Penjenayah wanita Melayu paling dikehendaki polis, Rohaniza Aladib, 31, yang disyaki terbabit dengan penipuan ratusan mangsa termasuk beberapa artis terkenal tanah air sehingga mencecah RM400 juta, dipercayai melarikan diri ke luar negara bersama wang hasil kerja jahatnya.

Wanita ‘paling panas’ itu dilaporkan memperdaya beberapa artis popular termasuk Amy Search, Hattan dan Misha Omar dengan memujuk mereka menyertai skim cepat kaya, terus menjadi buruan polis berikutan enggan menyerah diri walaupun selepas diarahkan berbuat demikian sejak Mac lalu.

Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, hasil siasatan suspek dipercayai meninggalkan negara dan ada maklumat mengatakan dia kini bersembunyi di Australia.

Menurutnya, Rohaniza bijak berlakon bagi meyakinkan mangsa supaya melabur dalam skim pelaburan berasaskan saham syarikat rokok antarabangsa sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Suspek biasanya berjanji membayar pulangan keuntungan sehingga 50 peratus dalam tempoh pelaburan antara 10 hingga 30 hari. Biasanya, dia akan membayar keuntungan kepada mangsa ketika membuat pelaburan kali pertama sebelum mereka membuat pelaburan susulan dengan nilai lebih besar.

“Berdasarkan siasatan, ada di kalangan mangsa golongan VIP termasuk seorang wanita bergelar Puan Sri yang diperdaya membabitkan jumlah pelaburan mencecah RM26 juta,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini polis tidak menolak kemungkinan suspek memperdaya ratusan mangsa membabitkan wang pelaburan sehingga RM432 juta.

“Difahamkan, suspek sebelum ini pernah ditahan ketika remaja kerana terbabit dengan kegiatan penipuan sebelum dipenjarakan. Namun, sejurus dibebaskan, dia bergiat aktif semula sebagai penipu dengan kaedah lebih licik dan terancang.

“Suspek turut dikesan memperkenalkan pelbagai skim pelaburan dengan menggunakan sebuah syarikat berdaftar, Erza Corporation Sdn Bhd untuk mengaburi aktiviti penipuan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, Rohaniza yang mempunyai alamat terakhir di Damansara Indah Resort Home, Kota Damansara, Petaling Jaya, dikesan menghilangkan diri sejak Julai tahun lalu selepas mengumpul sejumlah besar wang pelaburan daripada mangsa.

“Polis percaya suspek memperdayakan ramai mangsa termasuk golongan profesional dan artis terkenal dengan menawarkan pembelian saham dalam syarikat rokok antarabangsa serta menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.

“Difahamkan, Amy Search dan Hattan masing-masing kerugian lebih RM1 juta dan RM50,000. Selain itu, penyanyi dan pelakon Awie serta Misha Omar turut terpedaya, namun enggan mendedahkan jumlah kerugian,” katanya.

Difahamkan suspek turut menipu beberapa pelakon tanah air selain ramai kakitangan kerajaan yang digula-gulakan dengan keuntungan berlipat ganda tanpa perlu bekerja keras.

“Polis Bukit Aman sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki suspek yang dipercayai berada di luar negara.

“Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai JSJK Bukit Aman di talian 03-26163747 dan 019-6000803,” katanya.