Sangkaan konon ilmu kebal diamalkan kalis segala jenis senjata nyata meleset apabila empat perompak warga Indonesia dikenali Geng Pak Ee akhirnya mati katak selepas tubuh dan kepala mereka ditembusi peluru dilepaskan anggota polis.

Kumpulan penjenayah pecah rumah itu, yang sebelum ini bertanggungjawab merompak rumah seorang tokoh politik bergelar Datuk, ditembak mati apabila cuba menyerang anggota polis.

Akibatnya, ketua kumpulan penjenayah dikenali sebagai Lutfi, yang diburu sejak tiga bulan lalu, maut selepas anggota polis yang cuba diserangnya melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata dalam kejadian sekitar jam 6.30 pagi semalam, polis menerima maklumat kemunculan kumpulan penjenayah terbabit berhampiran Pasar Borong Selayang di sini.

Menurutnya, penjenayah sebelum itu dikesan cuba memecah masuk sebuah rumah di Selayang, namun cubaan berkenaaan gagal sebelum suspek dipercayai mencari sasaran lain.

“Suspek yang menaiki Proton Waja dikesan berada di Jalan Rawang, sebelum mereka terserempak dengan kereta polis.

“Menyedari diekori polis, mereka memecut kereta. Mungkin mahu melepaskan diri daripada terus diekori, penjenayah sengaja mematikan semua lampu kenderaan sebelum memecut dalam gelap,” katanya.

Namun, tindakan itu membawa padah apabila kereta berkenaan gagal dikawal sebelum terbabas ke dalam longkang di persimpangan berhampiran kilang simen di Jalan Bristol, Rawang.

Khalid berkata, kumpulan penjenayah terbabit yang masih sempat keluar dari kereta masih berdegil apabila mencapai senjata tajam dan cuba menyerang anggota polis yang meminta mereka menyerah diri.

“Kumpulan penjenayah bersenjatakan parang dan celoret itu mengamuk dan tidak mengendahkan amaran supaya menyerah diri. Susulan itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.

“Tembakan berkenaan menembusi kepala dan tubuh menyebabkan keempat-empat penjenayah rebah sebelum maut di tempat kejadian,” katanya.

Khalid berkata, polis yang melakukan pemeriksaan kemudian menemui beberapa bilah parang, pisau dan senjata tajam yang disimpan dalam kereta digunakan penjenayah terbabit yang dilaporkan dicuri di Kampung Subang, dekat Petaling Jaya, baru-baru ini.

Difahamkan, polis yang bergegas ke lokasi persembunyian penjenayah terbabit menemui tali dan peralatan digunakan untuk pecah rumah.

Berdasarkan pemeriksaan, suspek dikenali sebagai Iskandar Hasan, 37, dari Malang, Indonesia; Lutfi Lumajang, 30-an, Rifa’i Lumajang, 39, dan seorang lagi masih belum dikenal pasti.

“Kumpulan penjenayah warga asing berkenaan amat dikehendaki polis sejak Jun lalu berikutan terbabit dengan 15 kes samun di sekitar Lembah Klang termasuk kediaman VIP di Shah Alam.

“Mayat semua suspek sudah dihantar ke bilik mayat Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya.

Khalid berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 22 dan 39 tahun diburu polis sejak kes rompakan di Shah Alam pada Jun lalu yang menyaksikan mereka melarikan wang tunai serta barang kemas bernilai jutaan ringgit selain turut memperkosa seorang pembantu rumah.