Semak tidak terlepas menjadi lokasi pasangan muda melempiaskan hawa nafsu apabila seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama teman lelakinya di kawasan tangki air Taman Penaga di sini, awal pagi semalam.

Tangkapan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) bersama anggota polis yang membuat pemeriksaan selepas mendapat maklumat orang ramai.

Jurucakap PADK, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kemungkinan berlaku maksiat selepas melihat sepasang kekasih masuk ke kawasan tangki air itu.

Sehubungan itu, katanya, sekumpulan pegawai penguat kuasa PADK mengadakan pemeriksaan operasi pencegahan maksiat di kawasan berkenaan dengan bantuan polis.

“Sebaik tiba di kawasan yang gelap, kami mengesan sepasang kekasih sedang leka bermadu asma.

“Kami menemui seluar dalam lelaki dan perempuan yang dilucutkan di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 21 tahun itu bekerja di sebuah hotel di Pulau Pinang dan teman wanitanya berusia 24 tahun adalah penuntut IPTA di Perlis yang berasal dari Alor Star dan kini menjalani latihan praktikal di hotel berkenaan.

Jurucakap itu berkata, pasangan itu akan didakwa di Mahkamah Syariah Kulim mengikut Seksyen 9 (1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimun RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.