mainpixDi siang hari, penampilan mereka bak muslimah sejati tetapi apabila tirai malam dibuka, hilang segala tudung, baju kurung atau jubah yang dipakai dan perwatakan mereka juga bertukar 100 peratus.

Ada yang ‘kemaruk’ berhibur di disko atau karaoke dan lebih mengejutkan, ada juga yang ‘lemas’ di pangkuan lelaki yang jauh lebih berusia tetapi berpoket tebal.

Itu tembelang segelintir ‘siswi alim kucing’ yang hanyut dengan gaya hidup kota metropolitan selepas bebas daripada pemantauan ibu bapa berikutan berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Pendedahan itu dibuat seorang kontraktor berusia pertengahan 40-an yang hampir dua tahun mengadakan hubungan sulit dengan seorang siswi.

Kontraktor itu mendakwa siswi ‘belaannya’ bukan saja kemaruk berhibur tetapi benar-benar mata duitan kerana sentiasa meminta wang setiap kali berjumpa.

“Jika keluar dengan mereka, asyik minta wang saja, kononnya nak bayar sewa rumahlah, beli bukulah, walhal pergi joli dengan kawan.

“Jika diajak menginap di hotel, lagi banyak jumlah diminta,” kata kontraktor itu yang hanya mahu dikenali sebagai Abidin.

Abidin menamakan siswi yang menjadi temannya sebagai Gina, berusia 20 tahun dan berasal dari selatan Semenanjung.

“Saya mengenalinya (Gina) menerusi seorang rakan yang menuntut di IPT sama dengan Gina. Ketika mula berkenalan, saya sangka dia budak baik sebab bertudung dan berbaju kurung, tetapi apabila berjumpanya pada waktu malam, saya terkejut lihat penampilannya.

“Habis hilang semua tudung dan baju kurung. Wajahnya penuh solekan, kuku dicat dan pakaian ketat habis!” katanya.

Abidin berkata, siswi itu kemudian meminta supaya dibawa jauh dari kawasan kediaman dan tempat pengajiannya kerana bimbang dilihat rakan atau pensyarah.

“Gina beritahu, hanya rakan terdekat tahu siapa dirinya yang sebenar. Di tempat pengajian, dia menyembunyikan tembelangnya dengan penampilan bak muslimah sejati. Malah, Gina beritahu dia mengehadkan pergaulan dengan rakan lelaki kerana bimbang disalah tafsir oleh rakan,” katanya.

Kali pertama Abdin berjumpa Gina ketika pergi makan, tetapi untuk kali kedua Gina tidak mahu pulang awal, sebaliknya mahu ke pusat karaoke.

“Rupa-rupanya ‘ligat’ siswi itu. Bukan saja berkaraoke, disko pun dia layan juga. Pada mulanya saya sekadar membelanja, tetapi lama kelamaan dia asyik minta wang dan kerap ajak saya membeli-belah,” katanya.

Abidin berkata, apabila asyik mengeluarkan wang, dia mahu mempergunakan ‘sepenuhnya’ siswa itu dan mempelawanya bermalam di hotel bersamanya.

“Tak susah rupanya (bawa Gina ke bilik hotel). Asalkan saya beri jumlah wang diminta, dia rela. Rupa-rupanya Gina bukan budak baik, ‘alim kucing’ saja,” katanya.

Sepanjang hubungan mereka, kata kontraktor berkenaan, Gina turut menjalin hubungan sulit dengan rakannya.

“Apabila saya tanya dia tidak mengaku, tetapi dia tidak tahu rakan saya sudah cerita semuanya kepada saya. Rakan saya juga kontraktor. Asalkan boleh berhibur dan dapat wang, Gina terima saja,” katanya.

Abidin berkata, dia turut berkenalan dengan rakan Gina yang juga berperwatakan ‘alim kucing’. Rakan Gina itu pun saya ‘pakai’ (tiduri) juga, tetapi tak mampu mengawalnya. Asyik ajak saya ke disko saja.

“Rakan Gina memang lebih ‘ligat’. Hisap rokok, minum arak dan layan pil khayal,” katanya.

Bagi membuktikan dakwaannya, Abidin mempelawa wartawan Metro Ahad menemui Gina dan sepanjang pertemuan, perwatakan Gina sememangnya seperti didakwa Abidin.

Gina yang bermekap tebal dan berpakaian ketat mengakui bertudung untuk ke kelas dan bijak menyembunyikan tembelangnya. Malah ketika dibawa keluar, dia mahu bertemu di lokasi yang jauh dari tempat pengajiannya.

“Bukan apa bang, nanti kawan nampak, kecoh! Penampilan saya di kelas bukan begini. Mereka (rakan) tak tahu saya ligat,” kata Gina.

Seperti didakwa Abidin, siswi itu memang mata duitan. Dia asyik meminta wang daripada Abidin, minta dicarikan rumah sewa, malah turut meminta dibelikan kereta.

Ketika berbual, Gina menyatakan ramai ‘siswi alim kucing’ sepertinya, malah lebih ligat daripadanya.

“Abang jangan ingat siang hari mereka pakai tudung, mereka memang berpenampilan begitu. Siang pakai baju kurung dan jubah, tetapi malam hari pakai seksi dan ketat, malah ada yang pakai skirt pendek.

“Ada yang hisap rokok, minum arak, makan pil khayal. Saya ini oklah lagi sebab saya tak hisap rokok, tak minum arak dan ambil pil,” katanya yang mengaku apa yang berlaku disebabkan pengaruh kawan.

“Bila dah berkawan dan jauh daripada ibu bapa, kita bebas buat apa saja. Kawan keluar malam, kita ikut. Kawan cari teman, kita buat juga,” katanya.

Malam itu, selepas menghantar Gina pulang, terbukti dia belum puas. Gina rupa-rupanya tidak mahu pulang awal, tetapi mahu keluar lebih lama bersama Abidin.

Apabila Abidin mempelawa Gina bermalam di hotel, Gina tidak kisah asalkan diberi wang. Satu lagi syarat, pulang sebelum jam 11 pagi esok kerana dia ada kuliah.