Seorang bapa terpaksa bermalam di lokap selepas dia kononnya dikatakan merogol anak sendiri yang sebelum itu membuat laporan polis berikutan ingin hidup bebas bersama teman lelaki.

Helah itu terbongkar apabila remaja berkenaan yang dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan meninggalkan nota kepada doktor dan mengaku dia hanya menipu kerana mahu keluar dengan teman lelakinya.

Menurut sumber polis, gadis berkenaan berusia 16 tahun pada mulanya cuba melarikan diri dengan membawa beg dan keluar dari rumahnya di sebuah kondominium di Pandan Mewah, Khamis lalu.

“Namun, perbuatan itu dapat dihidu bapanya yang kemudian mempersoalkan tindakan remaja terbabit sebelum dia dimarahi bapanya.

“Berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan itu, remaja terbabit kemudian membuat laporan polis mendakwa dia dirogol bapanya sendiri,” katanya.

Menurut sumber terbabit, susulan daripada laporan itu polis menahan bapa remaja berkenaan dan dia terpaksa bermalam sehari di lokap untuk siasatan.

“Polis kemudian membawa remaja berkenaan menjalani pemeriksaan doktor untuk memastikan sama ada dia menjadi mangsa rogol atau sebaliknya.

“Namun, remaja terbabit akhirnya mengaku kepada doktor yang dia sengaja membuat laporan palsu kerana tidak tahan dengan sikap bapanya yang sering mengongkong kehidupannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit.

“Semua ini salah faham antara dua beranak terbabit dan gadis itu mungkin terlalu mengikut naluri keremajaannya yang ingin bebas bersama rakan.

“Kes ini dianggap selesai dan pemeriksaan doktor juga mendapati gadis terbabit tidak mengalami sebarang tanda yang dia menjadi mangsa rogol,” katanya.

Menurutnya, gadis itu juga tidak menyangka bapanya akan dilokap disebabkan laporan yang dibuatnya itu.

“Gadis berkenaan tidak dapat menerima kenyataan yang bapanya terpaksa bermalam dalam lokap dan dia akhirnya menginsafi segala perbuatannya itu,” katanya.