mainpixSelepas enam hari gempa bumi menimbus hidup-hidup ratusan penduduk di pedalaman Pariaman di sini, pasukan penyelamat dan sukarelawan yang sukar mencari mangsa yang tertimbus terpaksa menggunakan kaedah mengesan tompokan minyak lemak dikeluarkan tubuh mayat yang mula timbul ke permukaan tanah.

Cara digunakan itu dianggap kaedah paling berkesan untuk mengenal pasti lokasi mangsa yang mati tertimbus di kawasan perkampungan Lubuk Laweh, Pulau Air dan Cumanak, dekat sini, yang seluas lebih 50 padang bola.

Sukarelawan tempatan, Fikri Hendra, 22, berkata dia dan anggota pasukan penyelamat buntu mencari cara terbaik mengesan mayat mangsa berikutan kawasan bencana terlalu luas selain dibanjiri lumpur.

Menurutnya, selain menggunakan deria bau untuk mengesan mayat, dia kerap melihat permukaan lopak atau lumpur tanah bagi mengesan minyak hitam busuk yang dihasilkan daripada mayat yang mulai mereput.

“Minyak itu menjadi penanda kewujudan mayat sebelum tanah terbabit digali. Sejak Sabtu lalu, kami mengeluarkan 13 mayat mangsa yang kebanyakannya mati tertimbus.

“Ada antara mereka sudah putus tangan atau terburai isi perut. Namun, kami terpaksa menahan bau busuk untuk mengeluarkan mangsa dengan berbekalkan cangkul dan penyodok,” katanya keletihan.

Pada masa sama, lebih 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) bertungkus-lumus mengesan mayat mangsa yang tertimbus di kawasan berkenaan sejak jam 10 pagi semalam.

Walaupun terpaksa berjalan lebih tiga kilometer sebelum menuruni cerun curam, anggota pasukan Smart akhirnya menemui mayat seorang lelaki yang tertimbus dan dihempap tanah runtuh.

Pasukan penyelamat itu yang dibantu anggota bomba Indonesia menggunakan gergaji untuk mengorek kawasan kejadian dan mengeluarkan mayat terbabit.

Pada masa sama, sepasukan doktor dan pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (PPAT) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut membuka klinik sementara untuk memberi rawatan kepada mangsa bencana di kampung berhampiran.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di tempat kejadian mendapati keadaan muka bumi kawasan lembah perkampungan terbabit yang dikelilingi gunung dan bukit dari tanah ‘polos’ menjadi punca penduduk kampung terperangkap dan tidak dapat menyelamatkan diri.

Pemandangan di Kampung Pulau Air dan Kampung Cumanak yang turut ditelan muntahan tanah lereng gunung setebal enam hingga 10 meter pasti menyebabkan agak mustahil untuk menemui mangsa masih hidup.

Paling menyedihkan apabila ada penduduk percaya ramai mangsa yang minum kopi di warung di tengah perkampungan itu dan kanak-kanak yang belajar mengaji di masjid berhampiran turut mati ditimbus tanah runtuh berkenaan.

Lebih mengerikan apabila ketua penduduk dari kampung berhampiran, Kayutaman Amril, 56, memberitahu kemungkinan 400 penduduk yang menghadiri majlis perkahwinan di perkampungan Pulau Air tertanam hidup-hidup dalam tanah.

Dia yang turut dijemput ke majlis berkenaan, bagaimanapun terselamat apabila gempa bumi berlaku ketika dia menunggang motosikal menuju perkampungan di lembah berkenaan.

Pada masa sama, kebanyakan keluarga penduduk yang datang ke kawasan terbabit kebingungan dan seolah-olah tidak percaya ketiga-tiga kampung terbabit lenyap begitu sahaja berikutan bencana gempa bumi yang dianggap amat dahsyat itu.