Kehilangan misteri wang daripada akaun milik pelanggan beberapa bank di China sejak beberapa minggu lalu akhirnya membongkar kegiatan dua penjenayah warga Malaysia yang mencuri wang terbabit melalui mesin juruwang automatik (ATM).

Kegiatan dua penjenayah terbabit yang bergiat aktif di beberapa bandar utama di republik itu menimbulkan panik di kalangan pengurusan bank terkemuka di China apabila pihak bank mengesan kes kecurian wang membabitkan 420,000 yuan (RM215,341) daripada akaun milik beberapa pelanggan mereka.

Difahamkan, suspek mencuri wang mangsa dengan berbekalkan pelbagai peralatan canggih antaranya kamera pengintip bersaiz kecil selain alat menghasilkan ribuan kad kredit palsu.

Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, dua suspek berkenaan yang dipercayai antara rangkaian sindiket penjenayah antarabangsa bagaimanapun diberkas polis republik terbabit selepas melakukan jenayah itu di Shanghai, sejak beberapa minggu lalu.

“Berdasarkan maklumat, dua suspek itu pernah diberkas di Perancis pada 2005 kerana terbabit dengan jenayah sama di negara itu.

“Namun, selepas dipenjarakan lapan bulan, suspek kemudian dihantar pulang ke Malaysia sebelum ke China untuk melakukan jenayah sama,” katanya.

Menurutnya, mereka dikesan menggunakan pelbagai peralatan moden seperti kamera pengintip bersaiz kecil dan alat penafsir kod kad ATM yang dipasang pada mesin ATM di beberapa bank di Shanghai.

“Suspek yang mendapatkan maklumat rahsia pelanggan bank kemudian akan memalsukan ratusan maklumat peribadi itu sebelum dipindahkan ke kad ATM palsu menggunakan peralatan khas dimiliki.

“Siasatan mendapati, suspek melakukan semua transaksi haram terbabit di beberapa mesin ATM di Zhengzhou dan Henan sejak April lalu. Bagaimanapun, kedua-dua suspek akhirnya diberkas, baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, hasil kejayaan itu, polis menemui sejumlah wang yang dicuri selain lebih 3,000 kad kredit palsu milik kedua-dua suspek berkenaan.

Tangkapan berkenaan adalah kes terbaru selepas dua lelaki warga Malaysia berusia 20-an diberkas di Vietnam pada Ogos lalu selepas berfoya-foya dengan membuat pengeluaran wang haram menerusi mesin ATM di negara itu.

Kedua-dua mereka yang masing-masing berusia 23 dan 29 tahun menggunakan maklumat identiti palsu untuk membuat pengeluaran wang haram AS$10,000 (RM35,000) dari sebuah mesin ATM pada hari sama.

Susulan itu, polis Vietnam menjalankan intipan dua hari terhadap pergerakan kedua-dua suspek sebelum menahan mereka yang disyaki terbabit dengan kes penipuan.

Polis negara itu turut merampas komputer riba, 17 kad kredit palsu dan wang tunai AS$1,000 (RM3,500) daripada kedua-dua suspek.

Penahanan terbaru rakyat Malaysia berkenaan antara beberapa siri tangkapan selepas seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 22 tahun ditahan polis Macau, China, awal Ogos lalu apabila dikesan berfoya-foya berjudi di kasino menggunakan kad kredit palsu.