“Tidak beradab dan menghina mahkamah.” Itu tanggapan yang boleh diberikan terhadap seorang lelaki berusia 30-an, dipercayai anak ketua ajaran sesat, Haji Kahar yang menunjukkan isyarat lucah menggunakan jarinya terhadap hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.

Isyarat menggunakan jari hantu itu ditunjukkan lelaki terbabit selepas Hakim Abu Zaky Mohammad menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara, denda RM16,500 dan enam sebatan terhadap Abdul Kahar Ahmad Jalal, 59, semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamad Khusrin Munawi, berkata anak lelaki ketua ajaran sesat terbabit yang turut menghadiri prosiding mahkamah dikatakan tidak puas hati apabila bapanya dikenakan hukuman sebat.

Menurutnya, beberapa pegawai penguat kuasa Jais yang berada dalam mahkamah menahan lelaki terbabit sebaik dia keluar dari bilik perbicaraan.

“Kami menahan dia (anak Abdul Kahar) selepas dipercayai menunjukkan isyarat lucah terhadap hakim sambil berjalan keluar dari mahkamah kerana tidak setuju keputusan dijatuhkan terhadap bapanya.

“Kami sudah menahan lelaki terbabit yang berada dalam senarai pengikut ajaran Haji Kahar yang hendak ditahan.

“Malah, kami juga akan tahan dia 24 jam dan akan bawa dia ke mahkamah esok (hari ini) bagi mendapatkan (perintah) reman bagi membolehkan penguat kuasa Jais menjalankan siasatan terhadap usaha dia cuba kembangkan ajaran bapanya itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Pada prosiding semalam, mahkamah turut memerintahkan Abdul Kahar dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu, dekat Gombak, pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

Abdul Kahar yang mendakwa dirinya Rasul Melayu adalah bapa enam anak, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor pada 24 September lalu apabila mengisytiharkan dirinya Rasul Melayu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, antara 10 Mei hingga 23 Jun 2005.

Dia juga didapati mengajar ajaran sesat, melanggar perintah Mufti Selangor, melafazkan kata-kata kufur dan mengajar kepercayaan yang bertentangan Islam.

Bagaimanapun, Abdul Kahar yang menghilangkan diri lebih tiga tahun selepas menghadapi pertuduhan itu, diberkas penguat kuasa Jais di sebuah rumah di Bandar Sungai Long, Kajang, ketika menikmati sarapan pada pagi bulan Ramadan kira-kira jam 9.45 pagi, 16 September lalu.

Dia dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum mengaku bersalah dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kesnya disebut semula, semalam.

Mengulas lanjut penahanan anak Abdul Kahar, Mohamad Khusrin berkata, beliau menganggap perbuatan lelaki terbabit menghina mahkamah dan seolah-olah tidak menghormati keputusan hakim.

Beliau berkata, Jais mahu menahan anak ketua ajaran sesat itu susulan penahanan bapanya selepas siasatan mendapati lelaki itu turut terbabit menyebarkan ajaran sesat.

“Kami sudah memperoleh bukti mengenai pembabitan lelaki terbabit serta terus menjalankan siasatan terhadapnya dan berharap perintah reman mahkamah akan diperoleh esok (hari ini).

“Dia begitu marah apabila Jais mengambil tindakan terhadap bapanya bagi menangani secara keseluruhan ajaran sesat itu,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mendakwa lelaki terbabit berdasarkan enakmen Jais yang bersesuaian.

Bukan itu saja, Mohamad Khusrin berkata, beliau juga menerima SMS yang menghina dan mengutuk tindakan Jais terhadap Abdul Kahar yang dipercayai dihantar anak ketua ajaran sesat itu.