PUTRAJAYA: Penggodam e-mel kini semakin licik meraih keuntungan ‘atas angin’ apabila menjadikan e-mel kakitangan sokongan di kementerian atau agensi kerajaan tertentu dengan menghantar tawaran palsu kepada ibu bapa pelajar yang gagal tersenarai melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Dalam e-mel yang dihantar, penggodam yang dipercayai bergerak dari luar negara dikatakan menggunakan ayat yang seolah-olah ‘ayat rasmi’ Kementerian Pelajaran bagi menyakinkan ibu bapa supaya memasukkan sejumlah wang, kononnya bagi membantu nama anak mereka disenaraikan semula sebagai penuntut IPT.

Kegiatan terbabit dikesan berlaku lebih tiga bulan lalu, tetapi tidak dilaporkan apabila ibu bapa yang terpedaya memasukkan wang terbabit mendapati nama anak mereka memang tidak tersenarai sebagai penuntut seperti yang dijanjikan pengirim e-mel, kononnya dari kementerian berkenaan.

Taktik yang digunakan penggodam terbabit dengan menyamar sebagai pegawai di jabatan pentadbiran atau sistem sebelum mereka menghantar e-mel supaya kakitangan terbabit mengemas kini akaun e-mel masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan tegas.

Apa yang mengejutkan, sebaik kakitangan berkenaan selesai mengemas kini akaun e-mel, penggodam boleh mendapatkan kata kunci, sekali gus mengakses e-mel kakitangan berkenaan.

Mereka kemudian menggunakan e-mel kakitangan kerajaan terbabit bagi menghantar e-mel kepada individu lain, sekali gus mengelakkan tindakan dikesan pihak berkuasa atau individu terbabit.

Kegiatan terbabit didedahkan Naib Presiden Dapat Vista Sdn Bhd yang juga pengasas dapat.com, Azli Paat, yang percaya penggodam terbabit tidak berniat memperolehi keuntungan daripada pemilik e-mel yang digodam, sebaliknya pemilik e-mel dijadikan ‘kambing hitam’ bagi mengaburi pihak berkuasa, selain menyakinkan pihak yang ingin dijadikan sasaran penipuan.

Beliau berkata, kebanyakan kes berlaku di kalangan kakitangan sokongan di Kementerian Pelajaran yang diminta mengemas kini e-mel mereka kononnya dihantar pegawai di jabatan tertentu.

Menurutnya, bagi kakitangan yang sudah terperangkap, penggodam akan menggunakan e-mel untuk menghantar tawaran palsu kepada ibu bapa kononnya anak mereka berpeluang mengikuti pengajian di IPT.

“Tetapi, disebabkan kuota sudah dipenuhi, anak mereka gagal terpilih dan jika ibu bapa memasukkan sejumlah wang, mereka boleh membantu menyenaraikan nama anak mereka ke dalam senarai,” katanya.

Azli berkata, kebanyakan mangsa menyedari ditipu selepas mendapati nama anak mereka tidak tersenarai walaupun sudah memasukkan wang yang diminta.

Menurutnya, penggodam dipercayai kebanyakannya dari luar negara juga bijak menggunakan taktik dengan menterjemahkan kandungan e-mel dari bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia bagi meyakinkan mangsa.

“Jika menggunakan bahasa Inggeris, mangsa sukar mempercayainya kerana kebiasaannya kementerian atau agensi kerajaan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan.

“Mereka menggunakan ‘Google Translator’ bagi memudahkan kerja penterjemahan,” katanya.

Azli berkata, kejadian itu dikesan sejak empat bulan lalu, tetapi jarang dilaporkan kerana kurang kesedaran di kalangan kakitangan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan sokongan yang menerima e-mel supaya mengemas kini maklumat masing-masing, mengesahkan dengan pihak pengurusan syarikat untuk memastikan emel itu adalah sah.