mainpix

DUNGUN: Seorang wanita berhati iblis bukan saja tergamak mendera anak perempuan tirinya, Nurhidayah Abdul Wahab, 4, malah pernah mencampak anak kandungnya sendiri yang baru berusia sembilan bulan ke dalam kolam ikan berhampiran rumahnya.

Bagaimanapun, bayi lelaki malang yang hampir lemas dalam kolam ikan sedalam tiga meter itu diselamatkan bapanya, Abdul Wahab Mahusin, 39, di rumah mereka di Kampung Sura Hujung di sini, dalam kejadian sebelum Ramadan lalu.

Perbuatan kejam wanita berusia 21 tahun itu sekali lagi terbongkar Ahad lalu selepas datuk kanak-kanak perempuan terbabit menemui seorang bomoh patah di Kampung Seberang Pintasan sebaik mendapati cucu yang tinggal bersama ibu tirinya itu tidak berhenti menangis selain mengadu sakit di bahu kanan.

Abdul Wahab yang mendedahkan perangai wanita itu yang juga isteri keduanya berkata, tindakan wanita itu tidak ubah seperti binatang kerana langsung tidak memiliki perasaan terhadap kanak-kanak terbabit yang mengharapkan kasih sayang daripadanya.

Menurutnya, disebabkan sering didera ibu tirinya, anaknya kini trauma dan hidup dalam ketakutan apabila bersama wanita itu.

“Anak saya boleh mati jika terus tinggal dengannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam.

Dia yang bekerja sebagai nelayan, berkata sebelum kejadian, dia keluar membeli sarapan di kedai berhampiran rumahnya jam 8 pagi.

“Sebaik pulang ke rumah, saya dapati anak saya berada dalam keadaan kesedihan dan mengadu sakit di bahu selain memberitahu tangannya tersepit pada pintu.

“Ketika itu, saya percaya tangan anak saya tidak tersepit pada pintu kerana tidak terdapat kesan dan keluar ke laut selepas menyediakan sarapan.

“Bagaimanapun, sebaik pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang, saya terkejut apabila mendapati lengannya bengkak dan mengesyaki ia perbuatan ibu tirinya, menyebabkan saya segera meminta bantuan bapa yang tinggal berjiran membawa anak bertemu bomoh patah,” katanya.

Menurutnya, tindakan wanita yang dinikahi selepas bercerai dengan isteri pertama itu bukan kali pertama kerana sebelum ini wanita yang dikahwini sejak tiga tahun lalu itu pernah menggigit badan anaknya termasuk memijak tubuh kanak-kanak berkenaan dan semua perlakuan itu berlaku ketika dia tiada di rumah.

“Isteri saya berubah sikap selepas melahirkan anak lelaki kami yang kini berusia sembilan bulan dan tidak tahu kenapa dia bersikap demikian.

“Pada mulanya saya menyangkakan dia mungkin tidak menyayangi anak tiri, namun telahan saya meleset apabila perlakuan sama turut dilakukan kepada anak kandung sendiri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Dungun, kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu.

Abdul Wahab berkata, akibat tidak tahan dengan sikap isterinya itu yang didakwa tidak memiliki perasaan kasih sayang terhadap anak-anak, dia pernah menceraikan wanita berkenaan pada Ogos lalu sebelum merujuknya semula seminggu kemudian.

“Namun, dengan kejadian terbaru ini, saya nekad tidak akan bersamanya lagi dan kini kami dalam proses bercerai,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan sebaik menerima laporan perubatan daripada HSNZ.