TAMPIN: Tanda tanya panggilan telefon yang tidak berjawab akhirnya bertukar menjadi hari paling menyedihkan dan mengerikan bagi seorang pelajar sekolah menengah apabila menemui mayat empat ahli keluarganya yang dibunuh kejam termasuk seorang dipercayai dipenggal kepala di rumahnya yang agak terasing di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Siti Mariam Ismail, 19, hanya mampu menggigil ketakutan apabila menemui mayat kakaknya, Siti Khatijah, 22, terlentang di ruang tamu dengan sebilah pisau terpacak di dada selain mayat datuk dan neneknya berlumuran darah di pintu rumah mereka yang terletak bersebelahan.

Siti Mariam sebelum itu dikatakan berang kerana bapa tidak datang menjemputnya pulang di sekolah berhampiran seperti kebiasaan, malah panggilan dibuat terhadap bapa serta kakaknya juga tidak disambut.

Marah kerana keluarganya tidak datang menjemput, Siti Mariam kemudian menaiki bas awam untuk pulang ke rumahnya, kira-kira tujuh kilometer dari sekolah.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, Siti Mariam kemudian berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer ke rumahnya dan terus memarahi kakaknya yang disangka sedang tidur di ruang tamu.

“Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat pisau terpacak di dada kakaknya menyebabkan dia terus berlari ke rumah datuknya, Atan Daud, 90, yang juga bekas imam kampung itu yang terletak bersebelahan.

“Dia sekali lagi terkejut apabila menemui mayat datuk dan neneknya terbaring di pintu rumah menyebabkan Siti Mariam menghubungi abangnya di Seremban,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Penduduk itu berkata, abang pelajar berkenaan kemudian menghubungi beberapa rakan sekampung untuk meminta mereka menyiasat kejadian berkenaan, sebelum seorang daripada mereka menemui satu lagi mayat tanpa kepala di lokasi.

Seorang anak Allahyarham Atan yang ditemui malam tadi, Muhammad, 43, berkata kali terakhir dia bertemu bapanya ketika cuti Hari Krismas lalu dan arwah ketika itu agak uzur kerana menghidap sakit buah pinggang.

“Arwah sudah bersara daripada menjadi imam sejak dua tahun lalu dan saya tidak sangka tragedi ini menimpa keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata selain Atan, ahli keluarganya yang dibunuh dalam tragedi menyayat hati berkenaan ialah isteri bekas imam berkenaan, Sufiah Keatas, 80, menantu, Ismail Awang, 76, dan cucu, Siti Khatijah.

Beliau berkata, tiga mayat mangsa dijumpai dalam sebuah rumah manakala Siti Khatijah ditemui dalam rumah bersaingan dengan pisau masih terpacak di dada. Menurutnya, pembunuh juga disifatkan sangat kejam kerana Ismail ditemui dalam keadaan kepalanya terputus, manakala Atan putus tangan kiri dan isterinya pula putus tangan kanan, dipercayai akibat cuba menghadang tetakan.

“Setakat ini, polis menolak kemungkinan kejadian bermotifkan samun disebabkan wang dan barang kemas tidak diusik selain menemui pisau serta parang yang dijadikan senjata pembunuhan.

“Pembunuhan itu juga dipercayai berlaku di sebelah pagi, tetapi polis tidak menemui sebarang kesan pergelutan,” katanya.

Sehubungan itu, Osman berkata, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang lelaki bernama Rashidi, 34, iaitu anak kepada Ismail bagi membantu siasatan.

“Dia dipercayai menaiki sebuah motosikal Suzuki bernombor pendaftaran BAY 2805. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, jenazah keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat, malam tadi.